England diberi tentangan sengit sebelum menang 5-3 ke atas Kosovo di laman sendiri manakala Portugal menewaskan Lithuania 5-1 di laman lawan yang menyaksikan kedua-dua pasukan gergasi itu mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan A dan B.

Namun paling mencuri tumpuan sudah tentu kelibat Cristiano Ronaldo yang menjaringkan empat daripada lima gol Portugal pada penampilan ke-160 bersama skuad kebangsaan negaranya itu.

Ia juga hatrik keduanya dalam tiga aksi antarabangsa bersama Portugal. Bagaimanapun kemenangan itu masih gagal membantu Portugal muncul pendahulu Kumpulan B kerana Ukraine masih unggul di atas.

Jadon Sancho pula muncul wira England apabila menjaringkan dua gol pada babak pertama untuk mendahului 5-1. Namun kebangkitan Kosovo dengan dua gol di babak kedua sedikit mencemaskan skuad bimbingan Gareth Southgate sebelum dapat mempertahankan kelebihan itu sehingga tamat permainan.

Terdahulo Kosovo juga mengejutkan England dengan gol pendahuluan menerusi Valon Berisha hanya selepas 34 saat permainan dimulakan tetapi mujur kecemerlangan Sancho membantu England bangkit selepas itu.

Juara dunia, Perancis pula menewaskan Andorra 3-0 dalam aksi Kumpulan H di laman sendiri untuk kekal sebagai pendahulu. Terima kasih kepada gol jaringan Kinglsey Coman, Clement Lenglet dan Wissam Ben Yedder.

Pemain paling malang dalam perlawanan ini adalah Antoine Griezmann yang gagal menyempurnakan sepakan penalti buat kali kedua dalam aksi antarabangsanya bersama Perancis. - AFP