Selepas babak pertama berkesudahan tanpa jaringan, Thailand mula mengganas pada separuh masa kedua dengan meledak dua gol menerusi Supachok Sarachat pada minit ke-56 dan 76 manakala satu lagi gol disempurnakan oleh Theeraton Bunmathan hasil sepakan penalti minit ke-64.

Ini adalah kekalahan kedua skuad Garuda selepas tumpas 2-3 kepada Malaysia dalam aksi pembukaan, Khamis lalu, sekali gus meletakkan mereka di tangga tercorot kumpulan.

Thailand pula mengutip kemenangan pertama selepas perlawanan terakhir menentang Vietnam minggu lalu berkesudahan 0-0.

Dalam aksi di Stadium Bung Karno, Sarachat meletakkan skuad Gajah Putih di depan selepas merembat bola ke penjuru kiri gawang menewaskan penjaga gol, Andritany Ardhiyasa.

Pada minit ke-64, pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Thailand selepas Andritany menjatuhkan pemain lawan dan peluang itu disempurnakan dengan baik oleh Bunmathan.

Sarachat menambah derita Garuda apabila melengkapkan kemenangan 3-0 pasukannya selepas melepaskan rembatan leret dari bahagian kiri pintu gol. - UTUSAN ONLINE