Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, geran dan sumbangan itu juga akan dipotong kerana perlu digunakan pihaknya untuk me­langsaikan tunggakan tersebut sekiranya pasukan-pasukan terbabit dibelenggu masalah kewangan.

“Tanggungjawab menyelesaikan tunggakan gaji pemain masih terletak pada pasukan terlibat dan kami tidak akan memberi (geran tahunan dan sumbangan penaja) jika mereka minta didahulukan (pembayaran) untuk melangsaikannya.

“Saya sudah arahkan sekretariat FAM untuk selesaikan segera isu ini dan ada kemungkinan pasukan yang tertunggak gaji lagi, tidak boleh main Liga M 2020,” katanya pada majlis perkahwinan anak lelakinya, Muhammad Najib Hamidin di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Hamidin turut mendedahkan terdapat segelintir pasukan yang tidak melaporkan kes tunggakan gaji, sebaliknya ha­nya sampai kepada pengetahuan FAM menerusi aduan para pemain yang terlibat.

Mengenai deretan kekalahan skuad Bawah 22 Tahun negara dalam tiga perlawanan persahabatan di Bangkok, Thailand, baru-baru ini, Hamidin berkata, beliau masih belum melihat laporan bedah siasat pasukan daripada jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

“(Namun) saya percaya mereka mampu bangkit dalam pertandingan sebenar (Kejohanan B22 AFF di Kemboja, bulan depan dan Kelayakan Kejohanan Bawah 23 Tahun AFC 2020 di Malaysia, Mac ini).

“Sebahagian besar pemain pasukan ini juga masih dalam persediaan (pramusim pasukan Liga M). Skuad ini masih ada masa (untuk meningkatkan prestasi), namun, saya yakin mereka mampu layak ke pu­singan akhir (Kejohanan AFC),” katanya.

Skuad bimbingan Kim Swee yang mara ke suku akhir, tahun lalu telah diundi dalam kelayakan Kumpulan J pada Kejohanan B23 AFC dari 22 hingga 26 Mac ini bersama China, Laos dan Filipina.

Sebagai perlawanan pemanas badan, mereka mengharungi tiga aksi persahabatan di Bangkok yang menyaksikan kekalahan kepada BH Pathum United (0-2), Army United (1-3) dan Ayutthaya United (5-7) dari Isnin hingga Jumaat lalu.