Sehubungan itu katanya, persatuan-persatuan dinasihatkan supaya tidak terlalu ghairah membayar gaji tinggi yang akhirnya memakan diri apabila tidak mampu melunaskannya.

Syed Ahmad memberitahu, ketika zamannya yang pernah mewakili Johor, Pulau Pinang dan Perak hanya memperolehi elaun kira-kira RM10 setiap perlawanan malah siapa yang menerima gaji RM1,000 pada masa itu dikira sudah cukup tinggi.

“Tapi cuba lihat bagaimana mutu permainan para pemain pada masa itu khususnya apabila beraksi untuk skuad kebangsaan. Pada masa ini, gaji sahaja tinggi, tetapi tidak ke mana.

“Saya nasihatkan para persatuan apabila menawarkan gaji, berilah yang setimpal dengan kemampuan yang ada. Buat apa tawar terlalu tinggi dan akhirnya terpaksa berhutang," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan gaji pemain yang terlalu tinggi, selain keghairahan pasukan-pasukan mendapatkan nama besar antara punca utama isu tunggakan gaji terus membelenggu Liga Malaysia (Liga M).

Menurut Pre­siden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM), Rezal Zambery Yahya, kira-kira 300 kes telah dilaporkan kepada mereka melibatkan isu tunggakan gaji pemain dan penamatan kontrak secara tidak sah sejak lima tahun lalu.

Malah Rezal tidak menolak gaji pemain tempatan dalam Liga M antara yang ter­tinggi di Asia Tenggara, sekali gus menyebabkan banyak pasukan sering terjerat dengan ke­ghairahan mendapatkan pemain bintang.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mendedahkan, Liga M mencatat kes tunggakan gaji tertinggi di Asia.

Dalam pada itu, tambah Syed Ahmad, beliau berpendapat bahawa gaji kira-kira RM20,000 atau RM10,000 adalah memadai dengan kualiti pemain yang ada sekarang. - UTUSAN ONLINE