Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata pertemuan khas itu bakal diadakan susulan permintaan daripada pelbagai pihak supaya kerajaan negeri campur tangan menyelesaikan kemelut berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mengambil keputusan untuk memanggil kedua-dua belah pihak iaitu pihak pengurusan dan pemain untuk duduk semeja dan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Setelah meneliti banyak perkara saya putuskan untuk memanggil kedua-dua belah pihak pada 3 Dis depan untuk bersemuka bagi mendapat gambaran sebenar tentang masalah tersebut. Ini kerana semua maklumat yang saya terima sebelum ini adalah berbeza-beza laporannya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri tidak berhasrat mengambil alih pengurusan pasukan itu kerana ia memerlukan komitmen kewangan yang tinggi setiap tahun.

Sementara itu, Jurulatih TCFC, Roshadi Wahab berkata beliau amat berharap supaya masalah terbabit dapat diselesaikan pada perjumpaan enam mata bagi membela nasib pemain dan kakitangan yang didakwa teraniaya serta digantung tidak bertali.

Beliau berkata pihaknya terpaksa meminta campur tangan kerajaan negeri kerana pihak pengurusan skuad The Sharks didakwa enggan bersemuka dan tidak menjawab semua surat serta e-mel yang dihantar kepada mereka malah menabur pelbagai janji palsu untuk menutup kesalahan mereka.

"Campur tangan kerajaan negeri memberi sedikit kelegaan kepada kami, tetapi saya minta tarikh itu dipercepatkan sedikit kerana kami tidak dapat bersabar lagi menahan tekanan hutang dan beban kewangan lain.

Bayangkan gaji pemain tidak dibayar sejak Julai lalu dan saya sendiri sudah setahun tidak menerima gaji. Jika dikira semua tunggakan dan pampasan yang perlu dijelaskan oleh TCFC mencecah RM800,000. Kami rasa seperti 'kain buruk' yang selepas keringatnya diperah dicampak begitu sahaja" dakwanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Konflik dalaman TCFC timbul apabila pihak pengurusan gagal membayar tunggakan gaji kepada jurulatih dan pemain menyebabkan Ketua Jurulatih, Mohd Noor Derus bersama lima lagi staf kejurulatihan menghantar surat secara rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, pihak pengurusan TCFC didakwa masih berdegil dan enggan melunaskan tuntutan biarpun telah diarahkan FAM.

Kemuncaknya, TCFC yang juga juara Piala FAM tahun ini bukan sahaja terpaksa melupakan hasrat untuk bermain di Liga Perdana tetapi turut hilang kelayakan untuk beraksi di mana-mana Liga Malaysia musim hadapan. - BERNAMA