PJ City FC memperoleh kemenangan tipis ke atas juara Liga Super melalui sentuhan Washington Brandao pada minit ke-63, menamatkan rekod tanpa kalah selepas 21 perlawanan dalam liga itu.

"Sudah tentu setiap pasukan tidak mahu kalah dan hari ini, akhirnya ia berlaku kepada kami dan saya kecewa. Kebimbangan utama saya adalah bagaimana kita bermain dan oleh itu, kita harus memperbaiki perlawanan menentang Terengganu pada Ahad ini, " katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Sehubungan itu, Figuerao berharap skuad Harimau Selatan akan bangkit semula bagi menebus kekalahan itu.

Dalam pada itu, ketua jurulatih PJ City FC, K. Devan memuji barisan pemainnya yang mempamerkan aksi memberangsangkan termasuk Washington serta penjaga gol kedua, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi yang berjaya menepis beberapa percubaan berbahaya barisan serangan JDT.

"Saya memang puas hati dengan prestasi pasukan, apatah lagi beraksi dengan juara bertahan Liga Super di laman mereka, dan apabila kita berjaya mengalahkan mereka, saya lihat kemenangan ini amat bermakna.

"Saya rasa motivasi JDT untuk bermain pada perlawanan ini mungkin kurang memandangkan mereka sudah bergelar juara Liga Super, namun bagi saya, kemenangan ini merupakan satu catatan sejarah bagi pasukan PJ City FC," jelasnya.

Untuk rekod, JDT mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut sejak 2014 selepas menundukkan Melaka 2-1 di Stadium Hang Jebat pada 26 Jun lalu. - BERNAMA