Ketiadaan ketua pasukannya, Mohd. Hadin Azman ternyata menyukarkan Felda United untuk merobek pertahanan lawan.

Pengendali Felda United, Mohd. Nidzam Jamil berkata, jentera serangan yang diketuai Abdul Azim Rahim agak sukar untuk melepasi benteng pertahanan Melaka United.

“Pergerakan kita sedikit terbatas dan ketiadaan penyerang import ternyata menyukarkan pasukan untuk mencipta kemenangan.

“Kita banyak bergantung kepada aksi cemerlang penjaga gol, Norazlan Razali yang menepis keluar percubaan bahaya pasukan pelawat,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan itu.

Menurut Mohd. Nidzam. dia tetap berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya sehingga berjaya menyekat misi Melaka United untuk membawa pulang tiga mata.

“Berkongsi mata dengan Melaka United merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan kerana pelawat memiliki ramai pemain hebat berbanding kami,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan menganggap pasukannya rugi apabila gagal membawa pulang tiga mata.

“Kita menguasai hampir keseluruhan permainan dengan serangan bertali arus namun tindakan penyudah yang tumpul menyebabkan kita berkongsi satu mata,” jelasnya.

Pada aksi semalam, pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi Patrick Reichelt sebelum pemain Felda United, Kei Ikeda menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-61. - UTUSAN ONLINE