Beraksi tanpa ketua pasukan, Mohd. Hadin Azman yang masih direhatkan kerana belum pulih daripada kecederaan, skuad kendalian Mohd. Nidzam Jamil itu berazam melakukan kebangkitan selepas tewas 1-3 pada perlawanan pusingan pertama di Larkin, Johor pada 5 April lalu.

Mohd. Nidzam berkata, para pemain diingatkan supaya menjaga disiplin masing-masing supaya sejarah hitam kehilangan tiga pemain di Larkin tidak berulang.

“Kita perlu elak bermain dengan tertekan kerana ia akan mempengaruhi emosi para pemain sehingga menerima hukuman daripada pengadil perlawanan.

“Kekurangan pemain di atas padang disebabkan layanan kad merah amat merugikan pasukan sehingga memberi kesan kepada percaturan yang dirancang,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Mohd. Nidzam mahu semua pemain Felda United beraksi dengan lebih baik untuk menyekat hajat JDT meraih tiga mata di tempat lawan.

“Kita tidak boleh kehilangan mata lagi untuk keluar dari zon bahaya sekiranya ingin terus kekal dalam Liga Super musim depan,” ujarnya.

Tambahnya, penyerang skuad The Fighters, Abdul Azim Rahim yang sudah menemui sentuhan gol perlu memanfaatkan peluang yang dicipta apabila berdepan JDT nanti.

“Saya menaruh harapan tinggi kepadanya untuk merobek kubu lawan,” katanya - UTUSAN ONLINE