Katanya The Fighters sepatutnya mencipta sekurang-kurangnya tiga gol, berdasarkan peluang yang diperolehi sepanjang 90 minit perlawanan.

“Kita sepatutnya mendapat tiga gol dalam perlawanan ini, tetapi pemain tidak mengambil peluang itu. Dalam babak kedua permainan, kita telah bermain agak longgar dan memberi peluang kepada pihak lawan menjaringkan gol penyamaan.

“Kita nyaris melepaskan gol kedua kepada Kuala Lumpur* Apapun sepatutnya perlawanan malam ini kita boleh menang,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan malam tadi, jaringan Felda United dijaringkan Abdul Azim Rahim pada minit ke-34 sementara gol Kuala Lumpur dicipta oleh Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-57.

Mohamad Zahid berkata berikutan keputusan tersebut, penambahbaikan akan dilakukan untuk memastikan Felda United terus memberi cabaran dalam saingan Liga Super dan Piala FA.

“Kita akan bertemu Selangor pada saingan Piala FA selepas ini, dan saya tetap yakin dengan keupayaan Felda United. Jika dilihat pada perlawanan terdahulu juga, pemain kita bermain lebih bersemangat apabila turun menentang Selangor,” katanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Rosle Md Derus mengakui berpuas hati dengan kejayaan pasukannya mencuri satu mata di tempat lawan.

“Cuma pada babak pertama kita bermain kurang sedikit...pada separuh masa kedua kita berjaya bangkit sehingga nyaris dapat menjaringkan gol kedua. Penjaga gol, Mohd Sharbinee banyak menyelamatkan gawang Kuala Lumpur,” katanya. - BERNAMA