Pengurus JDT, Luciano Gabriel Figueroa berkata walaupun menang 2-0, anak buahnya perlu mengasak kubu pertahanan The Fighters untuk memaksa pihak lawan melakukan kesilapan dalam kotak penalti.

"Ia satu perlawanan yang baik buat JDT kerana berjaya menguasai permainan sepanjang 90 minit. Tetapi saya akui amat sukar untuk menembusi benteng pertahanan lawan.

"Mereka beraksi secara bertahan yang mana semua pemainnya berkampung dalam kawasan mereka yang memaksa kami untuk melakukan serangan secara bertubi-tubi," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan itu, JDT memperoleh gol pertama menerusi sepakan penalti pada minit ke-38 yang disempurnakan pemain importnya Diogo Luis Santo, yang turut menjaring gol kedua pasukan pada minit ke-61.

Figueroa berkata kemenangan semalam, juga mengukuhkan kedudukan Harimau Selatan di puncak Liga Super terutamanya selepas pencabar terdekat Pahang tewas mengejut kepada pendatang baharu liga, Petaling Jaya (PJ) City.

"Dengan kemenangan ini, kini kami mendahului dengan lima mata di depan dan sudah tentu ia menjadi motivasi kepada kami untuk terus fokus dan mengekalkan pasukan di tangga teratas liga," katanya.

Sementara itu, pengendali Felda United, Mohd Nidzam Jamil berkata rentak permainan anak buahnya berubah selepas JDT memperoleh jaringan pertama.

"Apabila kita bermain dengan kelab yang besar seperti JDT, kita tidak boleh melakukan kesilapan mudah sehingga dihukum dengan jaringan dan memulakan permainan dengan keputusan 0-0 adalah berbeza berbanding jika kita ketinggalan.

"Kita cuba untuk menukar taktik dengan beraksi lebih terbuka tetapi tidak boleh keterlaluan kerana hasilnya kita telah dihukum dengan gol kedua JDT," katanya.

Meskipun tewas, Mohd Nidzam mengakui beliau optimis untuk memastikan The Fighters bangkit pada perlawanan seterusnya demi mengekalkan mereka dalam saingan Liga Super musim hadapan. - BERNAMA