Pusat latihan berkeluasan 400,000 kaki persegi itu di Padang SUK, Shah Alam adalah bukti komitmen FAS untuk membawa persatuan ke tahap yang lebih tinggi.

Majlis perasmian fasiliti baharu yang dinamakan Pusat Latihan FAS itu telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dalam satu majlis ringkas yang turut dihadiri oleh pihak penaja, exco persatuan dan wakil media.

“FAS, merupakan satu entiti yang besar dalam kancah bola sepak Malaysia. Meskipun telah tertubuh selama hampir 83 tahun dan berjaya meraih pelbagai kejuaraan utama di Malaysia, FAS masih lagi beroperasi di pejabat yang usang di Kelana Jaya dan hanya mempunyai pusat latihan yang serba kekurangan.

“Saya berharap agar kemudahan baru ini dapat menaikkan lagi semangat pemain, barisan kejurulatihan serta staf dalam memberikan yang terbaik untuk persatuan, sekaligus mengembalikan zaman kegemilangan pasukan Merah Kuning di Malaysia,” katanya dalam ucaptama majlis perasmian pusat latihan berkenaan.

Perasmian fasiliti baharu yang merupakan visi pertama beliau ini turut menyaksikan pusat pentadbiran FAS telah berpindah dari pejabat lama mereka yang terletak di Kelana Jaya selepas hampir 23 tahun.

Kemudahan baharu yang dilengkapi padang latihan, gimnasium, pusat rawatan fisioterapi, kedai cenderamata dan kompleks pejabat ini bukan sahaja diharapkan dapat memberi semangat dan inspirasi baru kepada pemain.

Selain itu, pentadbiran persatuan dan kejurulatihan diletakkan di bawah satu bumbung.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon melahirkan rasa syukur dan gembira dapat merealisasikan pembinaan pusat latihan berkenaan.

“Setelah mengambil alih pucuk kepimpinan persatuan, pihak pengurusan baharu telah menggariskan 5 teras untuk memperkasakan Selangor FA.

“Pembinaan fasiliti ini adalah perkara pertama yang telah diputuskan dan alhamdulillah, impian FAS untuk mempunyai fasiliti yang lebih baik dan pusat pentadbiran persatuan yang lebih mampan telah berjaya direalisasikan,” katanya.

Johan turut sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada Vizione Holdings Berhad yang merupakan salah satu rakan strategik FAS yang juga menjadi penggerak utama dalam pembinaan fasiliti tersebut. - UTUSAN ONLINE