Naib Presidennya, Mohd. Azizudin Mohd. Shariff berkata, ini kerana pihaknya telah menerima maklumat rasmi bahawa stadium berkenaan tidak dapat digunakan untuk penganjuran perlawanan pada waktu malam ekoran masalah teknikal.

Katanya, berdasarkan semakan awal, masalah berkenaan membabitkan pencahayaan lampu limpah yang tidak memenuhi piawaian pertandingan.

"FAP terpaksa memohon untuk menunda perlawanan Pulau Pinang dengan Felcra FC pada 26 Mei serta perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dijadualkan pada 25 Jun," katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Malam tadi, perlawanan Liga Super membabitkan PKNP FC dengan Selangor yang dijadualkan bermula pada pukul 10 malam di stadium berkenaan terpaksa dibatalkan akibat masalah lampu limpah yang mula dikesan pada pukul 8.45 malam.

Mengulas lanjut, Mohd. Azizudin berkata, perkara berkenaan mengambil masa sebulan untuk diselesaikan sekaligus menjejaskan jadual yang ditetapkan oleh penganjur sebelum ini.

Stadium berkenaan yang siap pada 2000 dan mempunyai kapasiti 50,000 penonton dikongsi oleh Pulau Pinang dan PKNP yang masing-masing bersaing dalam Liga Super dan Liga Perdana musim ini. - UTUSAN ONLINE