Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, selain Malaysia, beberapa ahli gabungan AFC turut menerima nasib yang sama, kesan daripada format pertandingan kelayakan di bawah AFC termasuk pusingan kelayakan AFC Bawah 23 (B-23) 2020 yang berakhir, baru-baru ini.

"Sebagai ahli gabungan AFC, ada saluran yang betul yang boleh digunakan untuk mengutarakan cadangan. Surat cadangan akan dihantar kepada Jawatankuasa Pertandingan AFC selepas kita mengenal pasti cadangan tersebut sebelum dihantar kepada AFC," katanya.

Stuart berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memberi taklimat kepada wakil media mengenai laporan pertama Pelan Hala Tuju (Road Map) FAM, F:30 di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Skuad B-22 negara terpaksa menelan kepahitan gagal layak ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23 2020 di Thailand setelah menduduki tangga kedua di belakang China dalam aksi pusingan kelayakan kumpulan J di Stadium Shah Alam, baru-baru ini.

Berdasarkan format pertandingan, hanya 11 juara kumpulan dan empat pasukan kedua terbaik (second-placed best team), layak ke pusingan akhir. Malaysia mengakhiri cabaran selaku pasukan kedua terbaik di tangga kelima.

Kegagalan tersebut menyaksikan skuad negara gagal mencapai salah satu sasaran dalam F:30 memandangkan kejohanan kelayakan di Shah Alam itu turut dikira sebagai medan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. - BERNAMA