Begitulah apa yang dialami oleh jurulatih Selangor, B. Sathianathan yang menjadi kecaman penyokong apabila pasukan bimbingannya tidak begitu menjadi dalam saingan bola sepak Liga Super ketika ini.

Menerima kecaman dan kutukan penyokong membuatkan jurulatih itu tidak keruan ketika berusaha meningkatkan semula keyakinan penyokong terhadap pasukan. Bukan setakat kecaman bahkan menerima kutukan berunsur perkauman.

Pendedahan Sathianathan itu sepatutnya tidak dipandang remeh oleh Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) bahkan sepatutnya diambil sesuatu tindakan agar ia tidak berulang atau merebak.

Hari ini jurulatih, mungkin esok, lusa merebak kepada pemain, pengadil dan penyokong. Sebelum menjadi ‘barah’, FAM perlu segera lakukan sesuatu misalnya kempen kesedaran antiperkauman sebelum terlambat.

Isu perkauman ini dipandang serius di Eropah bahkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sama sekali melarang tindakan seumpama itu dengan mengenakan denda tertentu.

Elok juga kempen ini melibatkan ultras setiap pasukan negeri atau kelab. Mereka ini mempunyai jumlah keahlian yang besar dan merupakan saluran terbaik untuk menyampaikan kesedaran kepada ahli mereka agar memberi sokongan secara berhemah.

Kempen seperti ‘respect’ mungkin boleh diperkenalkan. Antara lain ia bertujuan untuk mempromosi rasa hormat dalam hubungan sesama manusia atau meningkatkan kesedaran tentang peranan positif semua yang terlibat dalam sukan ini daripada penyokong, pemain, pengadil, jurulatih dan para peminat bola sepak secara keseluruhannya.

Dalam situasi yang menimpa Sathianathan itu, kita mungkin faham mengapa penyokong begitu marah dengan jurulatih berkenaan. Kegagalan meraih kemenangan dalam lima perlawanan sebelum mencatat kemenangan sulung ke atas Kuala Lumpur, antara yang menjadi punca.

Kegagalan Selangor yang memiliki rekod dan reputasi tinggi dalam arena bola sepak tempatan itu tentulah diibaratkan se­perti sebuah ‘kem’ yang sedang berasap sehingga mencetuskan kemarahan penyokong terutama dalam media sosial.

Namun, kemarahan berbentuk perkauman itu sama sekali tidak boleh kita terima di sebuah negara seperti Malaysia yang rakyatnya berbilang kaum. FAM atau pengendali liga Malaysia (MFL) perlu mengambil serius pendedahan Sathianathan ini, jangan sampai terlepas pandang.

Untuk mengawal media sosial mungkin sukar tetapi apa yang boleh dilakukan ialah dengan memulakanlah kempen ‘respect’ atau ‘hormat’ dalam setiap perlawanan. Gantunglah kain rentang yang mengingatkan penyokong kita tentang rasa saling hormati-menghormati.

Sekarang ini kempen bendera kuning FIFA - Fairplay pun sudah jarang kelihatan ketika diawal perbarisan pemain masuk ke padang. Kembalilah mengamalkan sesuatu yang baik tujuannya, jangan sampai ada pemain bertumbuk sesama sendiri atau menyerang pengadil kerana tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan.

Kita sudah berada dalam era bola sepak profesional, mudah-mudahan dengan mengatasi hal-hal yang kita anggap kecil ini dapat membantu meningkatkan lagi tahap permainan dan semangat kesukanan yang kita inginkan.

Menang atau kalah adat permainan dalam apa jua bidang sukan, tetapi, jangan sampai kita hilang pertimbangan sehingga membelakangkan rasa hormat.