HAZWAN FAKRULLAH

Ini termasuk beberapa pemain yang berjaya mendapat semula tuntutan tunggakan gaji menerusi bantuan FAM dan MFL selepas kegagalan pengurusan pasukan melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Antaranya bekas pemain PDRM musim lalu, Hazwan Fakhrullah Mohd Zuridi yang berjaya memperoleh semula bayaran gaji tertunggak daripada bekas majikannya 22 Februari lalu bersama 11 pemain lain.

Hazwan berterima kasih de­ngan pertolongan FAM kerana melalui pemotongan hak penyiaran daripada PDRM, dia dan rakan-rakan boleh menarik nafas lega apabila tidak lagi memikirkan sebarang tunggakan bersama pasukan lamanya.

Tambahnya, dia mengakui setiap pemain perlu berhati-hati memilih pasukan pada masa depan serta perlu faham peranan FAM dan MFL yang hanya cuba membantu bagi memperketatkan peraturan secara berperingkat yang wajib diikuti oleh setiap pasukan.

“Alhamdulillah hak saya telah berjaya dilunaskan melalui pertolongan FAM, selain ada sebahagian baki turut dibayar oleh PDRM menerusi pengurusan baharu yang lebih prihatin.

“Bagi saya isu utama di sini adalah kedudukan kewangan pasukan yang kita wakili, jadi apabila isu tunggakan itu terjadi, sudah tentu menjadi tanggungjawab FAM dan MFL selesaikan masalah.

“Perkara ini kena dilihat secara lebih menyeluruh oleh semua pihak dan bukannya perlu me­nuding jari menyalahkan mana-mana pihak kerana jalan penyelesaian sentiasa ada,” katanya.

Sementara itu, bekas pemain Marcerra Kuantan FA, Zairul Fitree Ishak juga dalam situasi sama apabila berdepan isu tunggakan gaji bersama Marcerra Kuantan FA sebelum FAM tampil membantu untuk meringankan beban pemain-pemain apabila membayar tunggakan gaji mereka pada awal tahun ini.

Zairul yang kini beraksi bersama UiTM FC mengakui FAM cuba membantu meringankan beban pemain apabila mendapat sedikit bayaran daripada badan induk itu.

“Betul, FAM ada tolong kami yang pernah beraksi bersama Marcerra tahun lepas dengan bantu bayar tunggakan gaji yang ditinggalkan pasukan itu.

“Walaupun berperingkat, tapi setidak-tidaknya ia meri­ngankan beban kami,” katanya. - UTUSAN ONLINE