Pemergiannya telah meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat rakyat Portugal yang begitu menyanjungi Eusebio dan menyifatkan pemain legenda tersebut sebagai simbol abadi kepada bola sepak negara itu. Sebagai menghormati pemergian Eusebio, kerajaan Portugal turut mengumumkan bahawa negara tersebut akan berkabung selama tiga hari.

“Portugal dalam kesedihan. Eusebio, raja kepada skuad Portugal 1966 dan simbol abadi kepada negara, pasukan kebangsaan dan Benfica telah meninggal dunia," menurut Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) dalam satu kenyataan.

Apabila berita kematian legenda bola sepak itu tersebar, ramai peminat mengunjungi patung ikonik pemain itu yang didirikan bersebelahan dengan Stadium Luz yang merupakan gelanggang kelab Benfica yang pernah dianggotai Eusebio. Mereka meninggalkan bunga, skarf dan pelbagai cenderamata sebagai penghormatan kepadanya.

Eusebio, pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Eropah pada tahun 1965, tetapi menerima pengiktirafan di peringkat global setahun selepas itu pada Piala Dunia di England, yang mana beliau telah meledakkan sembilan gol bagi membantu Portugal melangkah ke separuh akhir.

Mendapat jolokan Black Panther, Eusebio pernah merangkul Piala Eropah bersama Benfica pada 1962 dan beraksi dalam tiga lagi perlawanan akhir termasuk tumpas kepada Manchester United di Wembley pada 1968.

Eusebio turut membantu Benfica menjulang 11 kejuaraan Liga Portugal dan selepas itu turut berkhidmat sebagai duta kepada kelab tersebut. Beliau telah meledakkan lebih 300 gol dalam aksi liga bersama kelab dari Lisbon itu.

“Berita kematiannya memang sesuatu yang amat mengejutkan. Kehidupan Eusebio adalah warisan buat peminat bola sepak di seluruh dunia," kata Banfica dalam satu kenyataan.

Malah, pemergian Eusebio turut menarik perhatian keluarga besar bola sepak yang juga mahu mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan sebagai penghormatan terakhir buat legenda Portugal itu.

“Dunia bola sepak telah kehilangan seorang legenda, tetapi Eusebio merupakan antara pemain legenda yang akan terus dikenang sampai bila-bila," kata Presiden FIFA, Sepp Blatter menerusi laman sosial, Twitter.

Eusebio berasal dari Lourenco Marques, yang kini dikenali sebagai Maputo iaitu kawasan jajahan Mozambique dan sebagai remaja yang berbakat besar, beliau pada awalnya dikatakan menyertai musuh ketat Benfica iaitu Sporting Lisbon, namun telah mengubah fikiran pada saat-saat akhir.