Penyerang Juventus itu kini telah menyumbat 93 gol buat negaranya, satu rekod yang sukar untuk ditandingi dalam sejarah bola sepak Eropah.

Bagaimanapun apa yang mencuri tumpuan di Stadium LFF adalah gol kedua Ronaldo  yang agak melucukan.

Kapten Portugal itu hanya melakukan sepakan leret lemah dari luar kotak penalti dan tidak menjangkakan percubaannya mampu menghasilkan gol.

Begitupun tolakan yang dilakukan penjaga gol tuan rumah, Ernestas Setkus secara tidak sengaja melantun terkena bahunya sendiri sebelum menerjah gawang.

Terdahulu, Portugal mendahului 1-0 hasil sepakan penalti yang disempurnakan Ronaldo seawal minit ketujuh, namun Lithuania berjaya menyamakan kedudukan menerusi Vytautas Andriuskevicius di minit ke-28.

Memasuki babak kedua, Portugal melancarkan serangan bertali arus, dan usaha mereka akhirnya menghasilkan empat gol - tiga menerusi Ronaldo pada minit ke-61, 65 serta 76 manakala satu lagi disempurnakan oleh William Carvalho di waktu kecederaan.

Portugal yang turun sebagai juara bertahan kini menghuni tangga kedua Kumpulan B dengan mengumpul lapan mata, lima mata di belakang pendahulu, Ukraine. - AGENSI