Mohd. Farizal berkata, pengurusan pasukan itu sepatutnya berbincang dengannya terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan tidak menyambung kontraknya.

"Saya terkejut apabila nama saya digugurkan pada 8 November lalu walaupun saya tidak memberitahu hasrat untuk berundur.

"Lebih elok sekiranya mereka berbincang dengan cara baik agar saya lebih bersedia untuk mencari pasukan lain," katanya kepada Utusan Online hari ini.

Menurut Mohd. Farizal, tindakan menyingkirkannha daripada skuad berkenaan juga agak lewat dan ia sepatutnya dilakukan lebih awal bagi memudahkannya membuat tawaran kepada pasukan lain.

"Saya rasa sedikit kecewa kerana tindakan ini bagaikan tidak berbaloi jika diambil kira dengan komitmen yang saya berikan sejak 2014.

"Kini saya bukan sahaja perlu mencari pasukan baharu malah perlu bersaing untuk menempatkan diri sebagai penjaga gol utama dalam saingan musim depan," katanya.

Difahamkan, penstrukturan semula bajet Felda United pada musim depan menjadi salah satu faktor beberapa pemain digugurkan.

Pencapaian terbaik Mohd. Farizal adalah membantu Felda United muncul juara Liga Premier musim ini untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Super 2019.

- UTUSAN ONLINE