PEMAIN Piala Presiden Pulau Pinang, Muhammad Shahmi Mohd. Sohairi cedera selepas terlibat dalam kemalangan di di Bayan Lepas sebelum susur masuk ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi, dua pemain berkenaan iaitu penyerang Muhammad Asraf Aliffudin Yassin dan pemain pertahanan Muhammad Shahmi Mohd. Sohairi, 18, menaiki sebuah motosikal dan dipercayai merempuh sebuah kereta Pero­dua Myvi di Bayan Lepas sebelum susur masuk ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Pengurus pasukan Saad Hassan berkata, Muhammad Shahmi, 21, mengalami kecederaan parah di tangan kanan dan akan menjalani pembedahan di Hospital Lam Wah Ee.

“Saya belum bertemu mereka untuk mendapatkan maklumat bagaimana kemalangan berlaku kerana terpaksa hadir ke stadium untuk perlawanan petang ini, namun difahamkan kedua-duanya sudah mendapat rawatan dan kini dipantau doktor,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, ketua jurulatih Manzoor Azwira ketika dihubu­ngi berkata, pasukannya terkejut dengan kejadian yang menimpa dua pemain berkenaan.

Katanya, perancangan pasukan sedikit terjejas kerana kedua-dua pemain itu sering diturunkan dalam perlawanan sebelum ini.

“Saya berdoa semoga keadaan mereka tidak serius dan lekas sembuh. Sebenarnya, setiap kali perlawanan berlangsung di tempat sendiri, pemain akan ke stadium menggunakan kenderaan sendiri,” katanya.

Pulau Pinang yang beraksi dalam Kumpulan A kini menduduki tempat kelima selepas mengumpul empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan tewas sekali.