Bintang muda negara itu, hanya memerlukan empat minit untuk menggegarkan jaring pasukan lawan menerusi rembatan dalam kotak penalti.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee hampir menggandakan jaringan selang seminit kemudian namun hantaran Safawi Rasid gagal dimanfaatkan Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Stadium Shah Alam terus bergema dengan sorakan hampir 8,000 penyokong yang hadir termasuk Ultras Malaya apabila Akhyar sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-31 menerusi kuisan ke belakang.

Ketika permainan menuju rehat, penyerang Fagiano Okayama, Hadi sekali lagi dihidangkan peluang terbaik untuk meledak gol ketiga buat negara dalam situasi satu lawan satu dengan Michael Asong namun penjaga gol Filipina itu berjaya menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Bersambung babak kedua, Hadi terus ketandusan sentuhan penyudah biarpun memperolehi dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol namun gagal disempurnakan.

Kegagalan itu menyaksikan Kim Swee membuat keputusan mengeluarkan Hadi dan digantikan dengan Nik Azli Alias pada minit ke-55.

Jurulatih dari Melaka itu turut, merehatkan Akhyar pada minit ke-64 dengan digantikan Faisal Abdul Halim.

Penyerang muda Pahang itu hampir meledakkan gol ketiga negara pada minit ke-73 namun dinafikan oleh palang gol.


Usaha Faisal untuk memburu gol akhirnya membuahkan hasil apabila dia bijak mengelecek dua pertahanan Filipina termasuk penjaga gol, sebelum mudah menolak bola ke dalam jaring pada minit ke-83 untuk memberi kemenangan selesa buat pasukan negara.

Malaysia akan bertemu Laos dalam aksi kedua Kumpulan J di venue yang sama pada Ahad ini.- UTUSAN ONLINE