Jaringan tunggal itu hadir pada minit ke-48 apabila Mitroglou yang tidak dikawal rapi menewaskan Roman Burki dari jarak dekat selepas penjaga gol Dortmund itu menampan bola tandukan daripada sepakan sudut.

Penjaga gol Benfica, Ederson, yang menggantikan rakan senegaranya dari Brazil, Julio Cesar menarik perhatian apabila cemerlang menangkis setiap percubaan Dortmund, termasuk menyelamatkan sepakan penalti.

Lebih perit, Dortmund mensia-siakan beberapa peluang terhidang terutama penyerangnya Pierre-Emerick Aubameyang yang gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila menendang bola ke arah penjaga gol Benfica itu.

Pemain kebangsaan Gabon itu kemudian dikeluarkan dan digantikan dengan Andre Schurrle pada minit ke-62.

“Ini adalah satu usaha yang hebat daripada kami malam ini. Kemenangan seperti ini adalah baik untuk menyuntik keyakinan kami,” kata pemain pertahanan tengah Benfica, Victor Lindelof.

Dortmund sepatutnya berada di depan seawal minit ke-38 namun Ederson menjadi penghalang utama, menyaksikan kedua-dua pasukan mengakhiri babak pertama tanpa jaringan.

“Kami memiliki beberapa peluang terbaik namun tidak ber­upaya merobek gawang mereka. Bagaimanapun, kami masih memiliki perlawanan timbal balik,” kata Schurrle. – AGENSI