Dollah berkata, jaringan Zuhair pada minit ke-85 perlawanan benar-benar melegakan segala tekanan yang dirasai pasukan itu.

Bekas jurulatih kebangsaan itu memuji keberanian Zuhair menggelecek sehingga melepasi dua pemain pertahanan skuad pelawat sebelum melakukan rembatan tepat ke pintu gawang Kedah dari luar petak penalti.

“Gol itu melegakan segala tekanan kerana amat susah untuk menjaringkan gol pada malam ini (semalam),” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan berakhir malam semalam.

Doalam pada berkata, Dollah berkata, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo memaklumkan dia kecewa apabila gagal menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-31 dan Tok Gajah tidak menyalahkan pemain penyerang itu.

Sementara itu, Zuhair mengakui bersyukur kerana menghadiahkan tiga mata penuh buat Pahang selepas diberikan peluang beraksi.

“Mendapat peluang bermain dan dapat pula menjaringkan gol kemenangan, sudah cukup buat saya rasa bersyukur,” katanya.

Sementara itu, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak tidak menyembunyikan perasaan kecewa selepas skuadnya tewas 0-1 kepada Pahang. 

“Kami tidak bernasib baik apabila Pahang berjaya menjaringkan gol di penghujung perlawanan yang menyebabkan Kedah pulang tanpa sebarang mata,” katanya. - UTUSAN ONLINE