Pasukan negara bermula sempurna apabila mendahului seawal minit ke-11 menerusi percubaan Syahmi Safari yang ditolak pemain China, Zhu Chenjie ke gawang sendiri.

Biarpun Zhang Yuning berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-16, namun jaringan Danial Haqim Draman menggegarkan Stadium Shah Alam pada minit ke-55 dan meletakkan Malaysia di ambang kemenangan.

Malangnya, ketika permainan berbaki enam minit untuk ditamatkan Shenglong menghukum Haziq Nadzli untuk gol penyamaan yang cukup mengecewakan.

Keputusan seri bermakna, Malaysia menutup kempen Kumpulan J selaku naib juara ekoran dengan berkongsi tujuh mata bersama China tetapi dipisahkan oleh perbezaan gol.

Skuad negara kini terpaksa menunggu keputusan lapan perlawanan awal pagi ini untuk mengetahui apakah mereka berpeluang menempatkan diri dalam kalangan empat naib juara terbaik.

Berdasarkan format pertandingan 11 juara kumpulan layak secara automatik ke pusingan akhir kejohanan disusuli empat pasukan terbaik di tempat kedua dan tuan rumah, Thailand.

Australia dan Tajikistan sudah meraih dua slot naib juara terbaik, bermakna ada dua tempat untuk menjadi buruan.

China yang dibimbing jurulatih terkemuka dunia, Guus Hiddink menjadi pilihan utama untuk memenangi perlawanan, selepas membelasah Laos 5-0 dan Filipina 8-0 dalam dua aksi pembukaan.

Malaysia bagaimanapun membuktikan mereka bukan pasukan belasahan, apabila memberi tentangan sengit, malah mengatur beberapa percubaan bahaya menerusi Akhyar Rashid, Safawi Rasid serta Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Biarpun dipaksa bertahan dalam sebahagian besar babak kedua, namun benteng pasukan negara yang ampuh diketuai Haziq, Syamer Kutty Abba, Dominic Tan dan Shahrul Nizam Ros Hasni mematahkan banyak asakan China.

Biarpun gagal mengutip tiga mata, anak-anak buah Kim Swee membuktikan kejayaan mara ke suku akhir di China tahun lalu dan mengejutkan Arab Saudi serta Korea Selatan dalam kejohanan itu bukan sekadar nasib.

Malaysia sememangnya memiliki ramai pemain berkualiti yang mampu bersaing di pentas besar, meskipun kelihatan agak ‘kalah’ jika saiz fizikal dijadikan ukuran.

Kejuaraan AFC B-23 2020 di Bangkok dianggap cukup penting buat Malaysia untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.