Pemain import dari Brazil itu kini hanya memerlukan tiga lagi jaringan bagi mencipta sejarah memadamkan rekod 67 gol legenda Fandi Ahmad.

De Paula bagaimanapun tidak mahu meletakkan sasaran tertentu bila dia mampu mencipta rekod itu kerana apa yang penting ialah kemenangan Kuala Lumpur dalam setiap perlawanan.

Paling mustahak, dia mahu memastikan Kuala Lumpur mampu melepasi zon penyingkiran selepas permulaan suram di awal musim apabila kalah enam perlawanan berturut-turut.

“Memang saya cukup berbangga dan berbesar hati kerana tiga tahun di sini bersama Kuala Lumpur, saya hampir penuhi sasaran apabila mampu lakukan 65 jaringan dan hanya tiga gol sahaja lagi letakkan nama saya dalam sejarah pasukan.

“Namun saya tidak mahu terburu-buru dalam masa terdekat dengan letak sasaran bila mahu dapatkan tiga lagi jaringan itu kerana keutamaan sekarang adalah untuk pasukan yang sedang berjuang di zon penyingkiran.

“Masih ada tujuh perlawanan liga, saya akan beri fokus dalam satu demi satu perlawanan dan angka jaringan itu akan dipecahkan secara tidak langsung jika saya mampu kekalkan prestasi terkini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan Kuala Lumpur di Pudu Ulu, Khamis lalu.- UTUSAN ONLINE