Katanya, kerjasama sedemikian sudah lama dipraktikkan di negara-negara maju seperti England dengan tabung berkenaan mampu disalurkan bagi membantu mereka khususnya dalam kos sara hidup dan perubatan selepas karier bola sepak berakhir.

“Saya pernah menyarankan idea ini ketika bertemu Raja Muda Selangor yang juga Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya bekerjasama dalam program CSR (tanggungjawab sosial korporat) dengan syarikat-syarikat di negeri itu.

“Kisah legenda bola sepak Selangor seperti Zapril Hashim harus diambil berat FAS walaupun bukan tanggungjawabnya 100 peratus,” kata pengurus Kelab KL Old Boys itu selepas melawat bekas sayap kanan Merah Kuning era 70-an dan 80-an itu di rumahnya di sini hari ini.

Zapril, 61, menderita ekoran tiga jari kaki kanannya dipotong di Hospital Ampang, Selangor pada 25 Mei lalu kerana menghidap penyakit kencing manis malah tidak mempunyai sumber pendapatan tetap selain terpaksa tinggal serumah dengan pekerja asing Bangladesh.

“FAS boleh memulakannya dengan menubuhkan sebuah jabatan yang boleh melihat hal-ehwal kebajikan bekas pemain Selangor. Contohnya tentang sumbangan elaun bulanan, bekerjasama dengan Pusat Zakat Selangor dan Baitulmal atau perumahan, dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Sudah sampai masanya kes seperti Zapril ini tidak lagi dipandang sebelah mata. Bekerjasama jugalah dengan bekas pemain yang sanggup menjadi ‘mata dan telinga’ FAS. Kalau ada yang tidak tahu, bekas-bekas pemain ini akan beritahu sesiapa yang perlu dibantu sebab sumber kewangan mereka sendiri pun terbatas.

“Bekas-bekas pemain ini macam askar, mereka sudah berjuang dan membawa pulang kemenangan dan piala untuk negeri apatah lagi macam Zapril yang pernah berganding bahu dengan legenda seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, (mendiang Datuk) R. Arumugam dan Datuk Santokh Singh,” katanya. - UTUSAN ONLINE