Sumber rapat kelab membe­ritahu ESPN, Liverpool telah memaklumkan kepada Barcelona bahawa Coutinho tidak akan dijual pada sebarang harga dan Klopp melihat perancang utama berusia 25 tahun itu sebagai aset berharga pasukan.

Countiho menandatangani sambungan kontrak di Anfield pada Januari lalu dan Liverpool difahamkan tidak memasukkan klausa pelepasan pemain sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut.

Kontrak terbaharu Countinho membolehkan dia menikmati gaji 150,000 pound (RM835,346 seminggu).

“Ya (dia bukan untuk dijual).

“Perkara ini bukan diputuskan pagi ini atau semalam tetapi Phillipe memang sentiasa menjadi pemain penting pasukan sejak dari dulu.

“Dia sedang cuba mendapatkan rentak permainan, namun kami tidak pernah meragui kualiti yang ada padanya. Dia mampu bermain dengan bijak baik ketika menyerang mahu pun bertahan.

“Perkara baik, dia masih muda. Dia menunjukkan ba­nyak peningkatan sejak tiba di sini dan masih boleh meningkat,” kata Klopp dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Barcelona melihat pemain antarabangsa Brazil itu sebagai pengganti berpotensi untuk Andres Inie­sta yang telah berusia 33 tahun.

Perancang utama Sepanyol tersebut bakal memasuki tahun terakhir kontraknya di Camp Nou.

Tiga tahun lalu, Liverpool dipaksa melepaskan Luis Suarez kepada Barcelona dengan rekod perpindahan kelab bernilai 75 juta pound (RM417 juta).

Bagaimanapun, pada ketika kelab itu kini kembali ke kancah Liga Juara-Juara dan menyasarkan untuk merebut gelaran Liga Perdana Inggeris, Reds percaya mereka berupaya mempertahankan Coutinho.

Klopp telah memecah rekod perpindahan Liverpool apabila menandatangani pemain tengah Mesir, Moha­med Salah dari AS Roma de­ngan harga 37 juta pound (RM205 juta) pada musim panas ini.

Pengurus itu masih meneruskan hajatnya memburu pemain tengah Leipzig, Naby Keita yang berharga 70 juta pound (RM389 juta) dan pertahanan Southampton, Virgil van Dijk yang di­anggarkan bernilai 60 juta pound (RM334 juta). – AGENSI