Coleman mengetuai Wales ke peringkat separuh akhir Euro 2016 bagaimanapun impiannya untuk membawa pasukannya ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1958 hancur lebur di Stadium Cardiff City.

Jaringan tunggal perlawanan James McClean memastikan slot ke saingan play-off menjadi milik Ireland apabila menduduki tangga kedua Kumpulan D di belakang Serbia.

Itu merupakan kekalahan pertama Wales dalam kempen kelayakan Piala Dunia dan yang pertama di laman sendiri pada aksi kompetitif dalam tempoh empat tahun, satu rekod kebanggaan Coleman.

“Apa yang saya fikirkan sekarang adalah bagaimana untuk menghadapi pemain yang muram dan kecewa. Mereka semua patah hati namun mereka patut berbangga. Saya akan buat keputusan selepas keadaan kembali reda. Kami akan duduk berbincang dan ambil keputusan daripada situ.

“Ini kekalahan kami buat kali pertama di laman sendiri dalam tempoh empat tahun. Empat tahun lalu kami menentang Macedonia di depan 8,000 penyokong namun situasi sekarang sudah berbeza,” kata Coleman.

Dalam pada itu, biarpun tewas namun Coleman tetap menghamburkan pujian kepada rakan sejawatannya, Martin O’Neil yang berjaya menewaskan Wales.

“Saya fikir persembahan yang seimbang untuk kedua-dua pasukan dan kami banyak mendominasi permainan pada babak pertama. Kami tahu Ireland ada perancangan dan melakukannya dengan baik. Permainan yang adil untuk mereka. O’Neill melakukan tugasnya dengan baik dan selamat maju jaya kepada mereka,” kata Coleman.

Ireland bakal menghadapi salah satu pasukan pilihan dalam aksi play-off, sama ada Portugal atau Itali namun lawan yang bakal dihadapi hanya diketahui pada Selasa depan.

“Kami layak ke play-off. Apa sahaja undian, kami perlu pastikan peluang kami untuk mara. Hasil daripada kempen kami? Sudah pasti gembira. Apabila undian dibuat saya fikir kami akan berada di kumpulan maut. Kami berjaya melepasinya dan itu menakjubkan,” kata O’Neill. - REUTERS