Kompany, 33, terlepas perlawanan testimoninya bersama City di Etihad hari ini akibat kecederaan hamstring tetapi hadir menerima penghormatan terakhir.

Perlawanan itu yang berlangsung di depan 51,602 penonton menyaksikan skuad Legenda Manchester City dan Liga Perdana All Stars XI seri 2-2.

"Jalan yang menghubungkan Akademi Bola Sepak City dan Pusat Pasukan Utama akan ditukar kepada  'Vincent Kompany Crescent'.

"Ia ditanda dengan mozek mengambil inspirasi daripada jaringan Vincent dalam perlawanan Manchester derby pada 2012.

"Kelab juga dalam proses membina arca sebagai mengiktiraf sumbangannya kepada Manchester City, dan apabila siap...Ia akan diletak dengan bangganya di luar Stadium Etihad," kata juara Liga Perdana Inggeris itu dalam satu kenyataan.

Sejak menyertai City pada 2008, bek tengah Belgium itu telah membantu mereka merangkul empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris, dua Piala FA dan empat Piala Liga.

Kompany meninggalkan The Citizens tahun ini untuk kembali ke Belgium, di mana dia kini menjadi pengurus merangkap pemain kelab Liga Divisyen A, Anderlecht.

Biarpun sedih kerana tidak dapat beraksi dalam perlawanan testimoninya, namun Kompany gembira melihat rakan-rakan lamanya di City seperti Mario Balotelli, James Milner, David Silva serta Sergio Aguero bergabung dalam skuad yang dibimbing Pep Guardiola.

Legenda Liga Perdana seperti Edwin van der Sar, Gary Neville, Ryan Giggs, Thierry Henry, Jamie Carragher dan Robin van Persie turut memberi penghormatan buatnya dalam perlawanan itu. - AGENSI