Skuad bimbingan jurulatih terkemuka dunia, Guus Hiddink itu memulakan kempen dengan membenam Laos 5-0, Jumaat lalu dan akan menentang anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee dalam aksi ter­akhir di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

Kata Hiddink, beliau tidak berniat memandang rendah keupayaan Filipina, pasukan yang ditewaskan Malaysia 3-0 ketika mengambil keputusan merehatkan pemain utama.

Begitupun, beliau mahu memberi rehat secukupnya kepada pemain utama menjelang aksi penting bertemu tuan rumah.

“Pemain kami semua sama taraf sama ada kesebelasan utama mahu pun di bangku simpanan.

“Saya tidak takut untuk menukar pemain,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Shah Alam hari ini.

Dalam aksi tersebut, China berada di depan seawal minit kelima menerusi penyerang­nya, Shan Huanhuan, disusuli gol kedua pemain tengah Hu Jinghang selang 10 minit kemudian.

Anak-anak buah Hiddink menambah derita Filipina apabila menyumbat tiga lagi gol menerusi Huang Cong, Lin ­Liangming dan Jinghang.

Babak kedua bersambung menyaksikan skuad kendalian Salvacion Salvador lebih banyak berkampung di kawasan sendiri namun benteng mereka tetap tidak ampuh apabila China menambah gol keenam menerusi pemain gantian Zhang Yuning pada minit ke-49.

Gol ketujuh China hadir pada minit ke-77 menerusi rembatan Huanhuan sebelum Yuning meledak gol kelapan ketika permainan berbaki dua minit.