Turun selaku pasukan pilihan menyaksikan China tidak berdepan masalah untuk menguasai permainan, meskipun, beraksi dalam cuaca panas.

Penyerang China, Yang Liyu meletakkan pasukannya di depan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-29.

Gol kedua China hadir menerusi rembatan Shan Huan Huan tiga minit sebelum rehat dan selepas itu, giliran Liyu pula meledakkan gol kedua peribadinya pada masa tambahan babak pertama.

Bersambung babak kedua, anak-anak buah Hiddink terus menguasai permainan dan memiliki saiz fizikal yang lebih besar menjadi kelebihan kepada China apabila pemain Laos sukar untuk mendapatkan bola daripada mereka.

China hampir menambahkan jaringan, bagaimanapun, tandukan Liyu pada minit ke-77 gagal menemui sasaran.

Pemain gantian China, Lin Liangming meledak gol keempat pasukannya, setelah melepaskan rembatan dari jarak dekat ketika permainan memasuki masa tambahan.

Pemain tengah China, Cao Yongjing menambah duka Laos apabila meledak gol kelima pada minit terakhir permainan.

China akan menghadapi Filipina, manakala, Laos bertemu Malaysia di venue sama pada 24 Mac ini. - UTUSAN ONLINE