Beliau yang juga Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM berkata, keputusan itu juga diambil bagi mengelakan persaingan berlaku dalam pemilihan tersebut bagi memastikan persatuan itu dapat bergerak dengan baik khususnya untuk menyelamat pasukan Kelantan merudum ke Liga M3.

“Pada masa kini fokus saya adalah kepada FAM tambahan pula edisi sulung Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) musim 2019 baru membuka tirai saingannya minggu lepas. Saya perlu memberikan tumpuan yang lebih MPFL kerana ini kali pertama liga futsal secara profesional diadakan.

“Bagaimanapun saya akan tetap membantu Kafa dengan menggunakan pengalaman yang dimiliki dalam dunia bola sepak tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pencalonannya sebagai Timbalan Presiden Kafa dalam kongres luar biasa (EGM) persatuan itu Sabtu ini.

Kafa hari ini mengumumkan calon-calon rasmi untuk pemilihan persatuan itu yang melibatkan pertembungan tiga penjuru bagi jawatan timbalan presiden iaitu di antara penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri Affandi Hamzah, Mohammad Yusri Ismail dan Datuk Seri Mohd. Zumridi Tambi.

Jawatan presiden juga menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Wan Abdul Rahim Wan Abdullah; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatua Malaysia (Bersatu), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dan ahli perniagaan Datuk Seri Amril Aiman Ab Aziz - UTUSAN ONLINE