Gianluigi Buffon
Gianluigi Buffon

Penjaga gol berusia 38 tahun itu mengakui, dia terlalu kecewa melihat pasukan tewas menerusi penentuan sepakan penalti 5-6 selepas permainan sebenar berkesudahan 1-1.

“Semua orang ada sebab tersendiri mengapa mereka menangis.

“Saya minta maaf kepada semua kerana memberi harapan yang tidak mampu ditunaikan.

“Selepas beraksi baik di pusingan awal, ramai yang percaya Itali mampu muncul juara, tetapi sayangnya kami tersingkir menerusi penentuan sepakan penalti.

“Kami berdepan detik yang jarang berlaku, lawan kami gagal menyempurnakan tiga tendangan penalti, tetapi kami masih tidak boleh menang,” ujar bintang Juventus itu.

Biarpun mengakui amat kecewa dengan penyingkiran skuad Azzurri, namun Buffon menegaskan, kekalahan itu tidak mendorongnya untuk bersara lebih awal.

Kata Buffon, dia masih seronok untuk beraksi dan mampu menyumbang kepada skuad kebangsaan.

“Saya gembira beraksi bersama skuad kali ini. Jerman layak untuk menang berbanding kami, tetapi perlawanan tersebut memberi pengalaman berguna kepada pemain muda,” katanya.

Selepas perlawanan terikat 1-1 dalam tempoh 90 minit dan kedua-dua pasukan gagal mencari gol pada masa tambahan, Itali mahu menjadikan kemenangan ke atas Jerman sebagai peluang melupakan dua kempen Piala Dunia yang mengecewakan sebelum ini.

Malah Azzurri memiliki peluang keemasan untuk menempah tiket ke separuh akhir tetapi sepakan penyerangnya, Graziano Pelle tersasar, menyebabkan peluang kembali terbuka buat Jerman.

Sepakan penalti terpaksa diheret ke sudden-death dan pertahanan Manchester United, Matteo Darmian menjadi mangsa dalam drama kali ini apabila sepakannya diselamatkan oleh penjaga gol lawan, Manuel Neuer.

Kemudian, Jonas Hector menjadi wira Jerman apabila menewaskan Buffon untuk membawa pasukannya bertemu sama ada Perancis atau Iceland di peringkat separuh akhir. – AFP