Lima pemain negara tersebut adalah Raja Haikarl Raja Zahari dan Danial Haiqal Shaipol dari Akademi Mokhtar Dahari yang merupakan produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP); Afiq Norizan (Sekolah Sukan Negeri Melaka); Farizzudin Adham Batcha (Sekolah Sukan Negeri Selangor); dan Anas Nadawi Shaharudin (Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi).

Kesemua mereka terpilih selepas menjadi lima pemain terbaik dalam sesi uji bakat Projek Impian ASEAN 2019, yang dianjurkan kelab profesional Liga 1 Jepun, Cerezo bersama pengeluar minuman probiotik Yakult (M) Sdn. Bhd. dan stesyen televisyen Osaka bertempat di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan, Jun lalu.

Ujar Afiq, dia dan rakan-rakan lain memasang azam untuk memberikan yang terbaik pada perlawanan tersebut dalam usaha memikat hati pencari bakat baharu di negara matahari terbit itu, sekali gus dapat merancakkan lagi pembangunan bola sepak Malaysia.

“Apabila sudah berada pada tahap ini, adalah menjadi satu kerugian jika kami semua tidak pamerkan segala kemahiran dan bakat yang ada.

“Sudah tentu pencarian bakat muda kelab Jepun akan ada sepanjang kami beraksi di sini, jadi ini adalah masa terbaik untuk kami buktikan kepada mereka dan tidak mustahil kami mampu mengikat kontrak di sini suatu hari nanti,” ujarnya ketika ditemui di Okayama, hari ini.

Projek Impain ASEAN merupakan program bagi mencungkil bakat muda dalam arena bola sepak, di mana kesemua mereka akan mewakili negara bagi menjalani latihan dan mengharungi perlawanan di Osaka selain memberi peluang kepada remaja terlibat beraksi bersama lima lagi pemain terbaik masing-masing dari Thailand dan Myanmar.- UTUSAN ONLINE