Pemain berusia 26 tahun itu, yang hanya melakukan dua penampilan musim lalu, selepas diketepikan akibat kecederaan lutut yang serius, bersetuju mengikat perjanjian yang akan mengekalkannya bersama Reds sehingga 2023.

Oxlade-Chamberlain, yang berpindah ke Anfield dari Arsenal pada musim panas 2017 menerusi yuran perpindahan bernilai 35 juta pound (RM178 juta), telahpun mengatasi jumlah penampilan yang dilakukan berbanding musim terdahulu.

Bos Reds, Klopp gembira dapat mengikat perjanjian baharu dengan bintang tengah England itu dan percaya ia merupakan satu ganjaran di atas impak yang diberinya baik di dalam mahupun di luar padang.

“Kami semua tahu kisah Alex sejak dia datang ke kelab ini, dan memang benar terdapat kekecewaan dan juga kegembiraan sepanjang dia berada di sini, tetapi apa yang mengagumkan saya dan semua orang ialah sikapnya sewaktu berdepan dugaan.

“Sebab itu, tiada seorangpun dalam kalangan kami meragui usaha kerasnya untuk kembali beraksi. Melihat dia bermain hampir seluruh permainan di Southampton, Sabtu lalu, ia memberi petanda positif buat kami, terutamanya Alex.

“Sekarang dia tidak lagi cedera, dia cukup cergas serta mampu menyepak bola dan membuktikan betapa bagusnya dia. Tetapi perjalanannya masih panjang, ada kala apa yang berlaku tidak seperti dimahukannya.

“Siapa tahu, mungkin musim ini kami dapat mendengar peminat menyanyikan lagi Alex Oxlade-Chamberlain? Ia cukup bermakna kepada saya dan pemain apabila mendengar nyanyian peminat,” kata Klopp kepada liverpoolfc.com. –AGENSI