Kemenangan Laos pastinya menyukarkan lagi harapan Malaysia untuk menempatkan diri dalam empat pasukan terbaik di tangga kedua secara keseluruhan kerana rekod pertemuan skuad kebangsaan ketika menewaskan Filipina 3-0, Jumaat lalu tidak dikira.

Ini kerana Filipina menduduki tempat terakhir Kumpulan J dan untuk layak ke pusingan akhir kejohanan hanya 11 juara kumpulan dan empat naib johan terbaik keseluruhan serta tuan rumah, Thailand.

Malaysia akan menentang China di venue yang sama sebentar nanti dan jika menang skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu akan layak secara automatik apabila muncul juara kumpulan.

Mengulas lanjut mengenai kemenangan tersebut, jurulatih Laos, V. Sundramoorthy berkata dia berpuas hati dengan pemain gantian yang memainkan peranan mereka dengan baik selepas mendapatkan dua gol untuk pasukan.

“Jujurnya kami tidak bermula dengan baik dan kami juga bolos dua gol awal berserta satu penalti. Namun, saya tetap berbangga kerana kami dapat bangkit di akhir permainan dengan dua gol,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Shah Alam, hari ini.

Dalam aksi tersebut, penyerang Filipina, Javier Gayoso meledak dua gol masing-masing pada minit kesepuluh dan gol penalti minit ke-33. Laos bangkit hasil jaringan pemain gantian, Chitpasong Latthachack pada minit ke-73 diikuti Vannasone Douangmaity pada minit ke-87 dan Bounkong pada minit kecederaan.

Sementara itu, ketua jurulatih Filipina, Salvacion Bayoneta berkata masalah kecergasan pemain menjadi faktor anak-anak buahnya gagal menamatkan kempen kejohanan tersebut dengan kemenangan biarpun sudah mendahului dua gol.

“Kami bermula dengan baik tetapi malangnya pemain tiada kecergasan, ada pemain yang baru habis liga ada yang belum beraksi dalam liga dan ada yang tengah beraksi. Jika kesebelasan utama pemain tiada kecergasan perlawanan pasti menjejaskan mental pemain itu sendiri,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE