Marcus Rashford membantu Manchester United membuka kempen Liga Perdana Inggeris dengan sempurna apabila membenam skuad bimbingan Frank Lampard, Chelsea 4-0 di Old Tafford hari ini.

Anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer yang mencari keputusan sempurna bagi memadam memori hitam musim lalu bermula langkah kanan apabila Rashford meletakkan mereka di depan pada minit ke-18 menerusi sepakan penalti.

Tiga lagi gol Red Devils diperoleh pada babak kedua masing-masing menerusi Anthony Martial pada minit ke-65, Rashford (m-67) dan pendatang baharu, Daniel James, sembilan minit sebelum tamat permainan.

Harry Maguire dan Aaron Wan-Bissaka turut mempamer aksi memberangsangkan di benteng meskipun hanya membuat penampilan sulung.

United membelanjakan 130 juta pound (RM655 juta) untuk membawa masuk kedua-dua pemain itu bagi menguatkan pertahanan mereka.

Bagaimanapun apa yang menimbulkan persoalan adalah keputusan Chelsea melepaskan pertahanan berpengalaman, David Luiz kepada Arsenal.

Blues jelas berdepan kesukaran untuk menangani serangan balas United meskipun menguasai hantaran-hantaran bola.

Pemilihan yang dilakukan Lampard juga dianggap berani apabila dia menaruh kepercayaan kepada pemain muda, Tammy Abraham dan Mason Mount untuk berada dalam kesebelasan utama manakala Christian Pulisic menunggu di bangku simpanan.

Chelsea bermula baik apabila melakukan beberapa percubaan bahaya, namun benteng rapuh jelas memberi kesan besar kepada kelab London itu. - AFP