Jaringan pertama Nicolo Barella bersama pasukan kebangsaan dan gol Kean membantu skuad Azzurri memulakan kempen Kumpulan J dengan langkah kanan di Stadium Friuli.

Kepercayaan yang diberikan Mancini kepada pemain tengah Cagliari berusia 22 tahun, Barella dan penyerang remaja Juventus, Kean, 19, nyata berbaloi.

"Kean mempunyai kualiti dan potensi yang sangat besar, semua terpulang kepada dirinya sendiri.

"Tidak susah hendak melihat bakat yang ada pada Kean dan Nicolo, jadi ia bukan sesuatu yang berisiko untuk memilih mereka," kata Mancini.

Mancini turut membawa masuk pemain remaja Roma, Nicolo Zaniolo,19, sebagai gantian untuk membuat penampilan sulung bersama pasukan senior kebangsaan.

"Itali memiliki ramai lagi pemain muda berkualiti, jadi mereka juga berpotensi membarisi pasukan pada masa akan datang," ujarnya lagi.

Pada ketika Mancini mula memberi kepercayaan kepada tenaga muda, dia tetap mempertahankan penyerang berpengalaman, Ciro Immobile untuk menamatkan kemarau jaringan.

"Ia tidak mudah buat Immobile kerana dia sering dikawal oleh lima atau enam pemain, jadi pemain lain dalam pasukan perlu mencipta peluang," katanya lagi. -AGENSI