Menurut Bibi Ramjani, selepas mengadakan pertemuan dengan Amril Aiman, beliau sudah menjelaskan situasi sebenar yang dihadapi badan bola sepak Kelantan itu dan berpuas hati dengan hasil perbincangan mereka.

“Alhamdullillah syukur ada yang berminat untuk menerajui KAFA, dan saya sudah berjumpa dan berbincang, namun kalau berbincang tanpa masukkan dana, takut pisang berbuah dua kali.

“Masa berbincang saya sudah beritahu berhubung masalah kewangan yang dihadapi KAFA, apa yang penting sekarang dana perlu ada sebelum terajui persatuan, kena korban sikit bila mahu jadi pemimpin terutamanya dalam bola sepak,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Hari ini akhbar melaporkan ahli perniagaan itu berani tampil menyahut cabaran Bibi Ramjani, yang sedia melepaskan jawatan sekiranya ada individu yang berkemampuan dari segi kewangan untuk mengambil alih tampuk kepimpinan persatuan itu.

Bibi Ramjani berkata beliau turut berbesar hati atas kesudian ahli perniagaan itu tampil menyuarakan hasrat berkenaan.

“Saya harap perkara ini tidak hanya cakap kosong, kerana masalah KAFA tidak selesai dengan cakap sahaja, kerana sebelum ini saya memulakan menjadi presiden membawa dana RM 1.5 juta bagi menyelesaikan masalah terutamanya tunggakan gaji.

“Saya harap beliau (Amril Aiman) sudah bersedia dengan apa yang sudah diberitahu, dan saya sedia berikan kerjasama, beritahu mana yang penting untuk perjalanan kewangan pasukan,” katanya.

Semalam, Amril Aiman mendedahkan, dalam pertemuan dengan Bibi Ramjani, awal bulan ini usahawan batik itu mengemukakan syarat kepadanya supaya membayar balik RM5.3 juta, iaitu duit milik dia dan abang iparnya yang digunakan untuk menguruskan KAFA. - UTUSAN ONLINE