BIBI RAMJANI

“Ini keluarga saya, kalau ada yang sudi menjaga mereka dengan lebih baik saya akan berundur. Tak perlu buat EGM (Kongres Luar Biasa). Saya sedia letak jawatan sekiranya ada individu yang layak dan lebih baik.

“Kalau betul ada yang bagus kena ambik alih sekarang, dalam masa terdekat agar pengurusan KAFA tidak tergugat apabila saya meletak jawatan,” katanya.

Mengulas lanjut, jelasnya, beliau tidak boleh melepaskan jawatan presiden sewenang-wenangnya kerana KAFA mempunyai tanggungjawab besar bagi menguruskan pasukan The Red Warriors (TRW), skuad remaja Kelantan dan juga pasukan bola sepak wanita.

“Cuba bayangkan jika saya lepas jawatan hari ini dan pasukan-pasukan ini memerlukan pemimpin untuk menerajui KAFA dengan dana kewangan untuk bergerak. Jika tiada individu yang layak menggantikan saya dalam masa terdekat, ia akan jadi kucar kacir.

“Oleh itu, jika ada yang mahu ganti tempat saya, dia tak perlu desak Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) untuk buat EGM kerana ia akan mengambil masa lama, sebaliknya terus datang berjumpa dengan saya sahaja. Saya bersedia lepaskan,” tegasnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, PBJ memberi kata dua kepada Bibi Ramjani supaya melepaskan jawatan sebagai presiden atau berdepan usul undi tidak percaya menerusi EGM badan induk itu.

Selaku ahli gabungan KAFA, kata dua itu dilontarkan selepas PBJ ‘hilang sabar’ dengan kegagalan usahawan batik tersebut mengurus tadbir badan induk bola sepak Kelantan sejurus diberi mandat pada September 2017 lalu.

Bukan itu sahaja, kemarahan penyokong TRW terhadap Bibi Ramjani tampak sukar dibendung apabila mereka menaikkan sepanduk mendesak usahawan batik itu segera berundur. - UTUSAN ONLINE