BIBI RAMJANI ILIAS KHAN

Bibi Ramjani berkata beliau tidak menafikan pemain sedikit sebanyak turut terkesan dan tertekan dengan isu berkenaan ketika ini.

“Kepada semua pemain beri tumpuan terutamanya pada perlawanan menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, malam ini untuk mencari kemenangan sekali gus mengubah kedudukan dalam usaha menyelamatkan pasukan daripada zon penyingkiran.

“Kami tidak mahu pemain terus tertekan dengan isu desakan pertukaran saya sebagai presiden kerana apa yang pasti mana-mana presiden yang menerajui KAFA pasti akan menjaga sebaik mungkin pengurusan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

KAFA ketika ini yang diterajui oleh ahli perniagaan wanita itu menerima desakan hebat oleh kelab penyokong, Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) dan bekas pemain pasukan Kelantan untuk berundur daripada jawatan berkenaan.

Pada masa sama, Bibi Ramjani turut mengucapkan terima kasih kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang membenarkan permohonan KAFA untuk menggunakan geran yang diberi bagi membayar tunggakan gaji bekas pengarah teknikal pasukan Kelantan Alfredo Gonzales.

“Permohonan bayaran itu penting kepada kami bagi mengelakkan KAFA terus dipotong mata sekiranya bayaran tidak dilakukan dalam masa yang ditetapkan sekali gus pasukan ditolak ke dasar Liga Perdana,” katanya.

Dalam perkara berkaitan, beliau menafikan KAFA tidak membayar gaji selama lapan bulan kepada pemain Piala Presiden.

Beliau berkata Piala Presiden hanya bermula pada Januari lepas dan ketika ini baharu lima bulan perlawanan berlangsung.

“Pada Januari kami bayar gaji pemain dengan mengemukakan cadangan kepada Syarikat Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd melalui kutipan tiket ketika menentang Sabah.

“Bayaran bagi Februari dan Mac pula masih diuruskan KRW sebelum mereka menamatkan perjanjian kerjasama dengan KAFA dan selepas itu kami memikul kembali tugas berkenaan. Tunggakan gaji lapan bulan tak benar, mungkin ada pihak mahu menjatuhkan KAFA dan saya,” ujarnya.- BERNAMA