Usahawan batik itu sebelum ini dengan tegas mengatakan dia tetap akan berundur tanpa menunggu
Kongres Luar Biasa (EGM) yang dijaual berlansung selepas umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors KLIA (TRWC KLIA) Rozaki Abdul Kadir berkata, tindakan Bibi Ramjani itu seolah-olah memberi gambaran KAFA adalah milik mutlak dirinya sehingga dia boleh berbuat sesuka hati tanpa perlu merujuk mana-mana pihak.

“Belum ada lagi dalam sejarah, beria-ia mahu melepaskan jawatan namun masih enggan berbuat demikian.

“Apa yang dilakukan Bibi Ramjani ini boleh dibawa masuk dalam buku rekod dunia,” katanya.

Rozaki memberitahu, pihaknya mendesak supaya usahawan batik itu segera mengosongkan kerusi No.1 dengan secepat mungkin.

Katanya, bukan sahaja Bibi Ramjani seluruh barisan Exco KAFA juga perlu berbuat demikian selepas gagal melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

“KAFA sekarang ini umpama sekor ikan yang sudah buruk. Sifat ikan bila kepala sudah buruk, seluruh badan hidupan itu akan turut musnah.

“Sebab itulah, saya mahu ‘pembersihan’ secara ‘total’ dilakukan dalam KAFA supaya sinar baharu dapat dibawa masuk bagi memperbaiki segala kerosakan yang berlaku sebelum ini,” ujarnya.

Rozaki berkata, pihaknya juga mendesak Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) terus memberikan ‘tekanan’ supaya EGM dapat dilaksanakan sebagaimana yang telah dirancangkan.

Katanya, EGM ini amat penting untuk memulihkan semula KAFA daripada dipimpin oleh individu dan kumpulan yang tidak berkemampuan.

“Kami mahukan presiden yang boleh memulihkan semula KAFA dan tidak bersifat ‘kerah keng’ (degil).

“Sifat itu tidak baik kerana ia boleh menghancurkan pasukan,” katanya.

Sebelum ini tujuh PBJ telah sepakat untuk mengemukakan usul undi tidak percaya bagi mendesak Bibi Ramjani supaya berundur bagi memberikan laluan kepada EGM untuk memilih presiden baharu.

Di bawah pimpinan Bibi Ramjani Kelantan yang dahulunya gah kini menuju ke zaman gelap apabila tersingkir dari saingan Liga Super ke Liga Perdana 2019.

Bukan itu sahaja, Kelantan turut terpalit dengan pelbagai kontroversi melibatkan isu kewangan apabila sehingga dipotong mata gara-gara gagal melunaskan tunggakan hutang.

Selepas mengharungi 14 perlawanan Liga Perdana 2019 Kelantan kini kukuh berada dikedudukan tercorot dengan mengumpul sembilan mata. - UTUSAN ONLINE