Pemain remaja sensasi Borussia Dortmund, Jadon Sancho meledak gol pertamanya bersama Three Lions, manakala Harry Kane dan Raheem Sterling terus mencetak nama sebagai penjaring.

England kini memenangi kesemua empat perlawanan, sekali gus kukuh menerajui Kumpulan A dengan 12 mata, tiga mata mengatasi Republik Czech.

Bagaimanapun hasil kerja cemerlang yang dilakukan jentera serangan nyaris dirosakkan oleh dua kesilapan yang dilakukan bek tengah,

Michael Keane dan Harry Maguire.

Ini kali pertama dalam tempoh 12 tahun mereka dibolosi tiga gol di tempat sendiri, malah Kosovo mengejutkan tuan rumah dengan mendahului saingan seawal minit pertama menerusi gol Valon Berisha.

"Malam yang aneh. Jelas sekali beberapa kesilapan mudah dilakukan pertahanan tetapi saya gembira dengan ketenangan yang ditunjukkan.

"Kami memiliki serangan yang hebat dan mengawal permainan dengan baik, cuma kelemahan pertahanan mencacatkan sedikit kemenangan," kata Southgate.

Hanya 35 saat selepas wisel permulaan ditiupkan, kesilapan Keane menghantar bola kepada pemain lawan di kawasan sendiri membolehkan Berisha menewaskan Jordan Pickford.

England menunjukkan tindak balas pantas apabila bangkit meledak lima gol menerusi Sterling (minit kelapan), Kane (19), jaringan sendiri Mergim Vojvoda (38) serta dua gol Sancho pada minit ke-44 dan 45.

Ketika semuanya tampak sempurna, kealpaan pemain England yang dilihat terlalu selesa menyebabkan Kosovo meledak dua gol pantas (minit ke-49, 55) sebaik sahaja babak kedua bersambung.

Pertahanan termahal dunia, Maguire melakukan asakan tidak sepatutnya ke atas Vedat Muriqi untuk menghadiahkan sepakan penalti yang menghasilkan gol ketiga Kosovo.

England terlepas peluang terbaik untuk menambah gol keenam apabila sepakan penalti yang diambil Kane diselamatkan penjaga gol lawan. - AGENSI