Jaringan Arturo Vidal pada minit ke-38 kembali menyamakan kedudukan selepas tuan rumah meraih gol pembukaan menerusi tandukan Raul Jimenez dan jari­ngan Thomas Mueller pada separuh masa kedua meletakkan gergasi Jerman itu dalam keadaan selesa.

Pasukan dari Portugal itu, yang berhasrat ke separuh akhir untuk kali pertama selepas suku abad, berjaya menyamakan kedudukan menerusi Talisca tetapi terpaksa akur bahawa mereka disingkir untuk kali keempat dalam empat pertemuan oleh Bayern di pentas Eropah.

The Bavarians berkemungkinan akan bertemu Real Madrid atau Atletico Madrid atau Manchester City dalam separuh akhir.

“Suasana di sini sangat luar biasa tetapi segalanya hasil daripada kerja keras semua pemain.

“Kami melakukan kerja dengan lebih teliti berbanding perlawanan sebelum ini, kami rapatkan barisan pertahanan dan tengah, keadaan menjadi lebih baik malam ini.

“Kami kekal tenang selepas ja­ringan awal dan terus bekerja keras,” kata kapten Bayern, Philipp Lahm yang beraksi dalam perlawanan 103 Liga Juara-juara untuk berkongsi rekod dengan bekas penjaga gol Bayern, Oliver Kahn sebagai pemain paling banyak beraksi.

Benfica yang beraksi tanpa penye­rang utama Jonas, Gaitan dan Kostas Mitroglou yang digantung permai­nan atau mengalami kecederaan berada dalam keadaan tertekan dengan gergasi bola sepak Jerman itu me­nguasai 70 peratus permainan.

Mueller memiliki peluang terbaik tetapi percubaannya tersasar selepas 15 minit perlawanan berlangsung dengan pertahanan Benfica terpaksa bekerja keras untuk menghalang percubaannya.

“Barisan pertahanan mereka sangat sukar untuk ditembusi. Mereka adalah lawan yang sukar,” kata pengendali Bayern, Pep Guardiola. – REUTERS