Ketika Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) melakukan transformasi besar-besaran dalam mengembalikan zaman kegemilangan Singa Utara, timbul pula cerita kurang enak yang merentap semangat para peminat untuk melihat kebangkitan Perlis.

Dalam keasyikan melakukan persediaan dengan menjelang tiga minggu lagi sepak mula saingan Liga Perdana akan berlangsung, Perlis sekali lagi dihimpit kontroversi membabitkan masalah tunggakan gaji.

Kali ini lebih serius apabila sekumpulan pemain sendiri tampil membuat pendedahan mengenai tunggakan gaji yang gagal diselesaikan PFA.

Sehinggakan memaksa pemain ada yang melakukan pelbagai pekerjaan seperti nelayan, berniaga burger dan buruh bagi meneruskan hidup.

Meskipun masalah tunggakan gaji antara perkara biasa bagi pasukan Perlis, namun kali ini ia mendapat perhatian yang lebih meluas.

Isu ini sebenarnya mudah jika pihak pengurusan ikhlas untuk menyelesaikannya - Bayar sahaja segala tunggakan yang jumlahnya itu bukanlah sesuatu yang besar berbanding peruntukan tranformasi yang sedang dilakukan Singa Utara ketika ini.

Selepas itu, bangkitlah kembali meneruskan perjuangan yang tertangguh selama ini untuk mengembalikan harapan menggunung peminat.

Jika menyorot kembali pada dua atau tiga minggu lalu, rata-rata rakyat Perlis teruja melihat perkembangan PFA. Di mana sahaja, mereka akan bersembang soal bola, cerita kehebatan Safee Sali dan Piya (Badhri Radzi) yang sebelum tidak pernah diimpikan sama sekali oleh peminat mereka akan bersama skuad Perlis.

Para penyokong juga sudah tidak sabar untuk kembali memenuhi Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar yang sudah lebih sedekad sunyi sepi akibat ‘singa’ yang terlalu lama tidur.

Begitulah tinggi harapan mereka dan diharap isu yang berlaku ini tidak berlarutan sehingga boleh mengganggu fokus Singa Utara.

Cukuplah. Peminat Singa Utara sudah tidak mampu lagi hampa selepas beberapa kali dihampakan dengan prestasi pasukan kesayangan mereka itu.

Selesailah secara baik isu ini dan fikirkan bagaimana perasaan peminat Singa Utara ketika ini apabila Perlis sekali lagi menjadi perbualan orang luar akibat masalah berkenaan.

Pastikan sebelum sepak mula Liga Perdana antara Perlis dan UKM FC, 3 Februari ini, segala kemelut yang berlaku antara persatuan dan segelintir pemain itu sudah diselesaikan secara baik.- UTUSAN ONLINE