Bale mengingatkan pengendali, Zinedine Zidane, mengenai kemampuannya selepas mencipta satu bantuan gol serta memperagakan aksi mantap sewaktu Madrid memulakan kempen La Liga 2019-20 dengan kemenangan 3-1 ke atas Celta Vigo semalam.

Bintang Wales itu sebelum ini mahu meninggalkan pasukan selepas meraih empat trofi Liga Juara-Juara Eropah dan satu trofi La Liga.

Dia yang dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Super China kini bersedia untuk kekal di ibu kota Sepanyol itu dan pemain tengah Madrid, Casemiro, memuji persembahan yang ditampilkannya semalam.

“Dia memberikan kami kejuaraan, menjaringkan gol dalam final dan meraih penghormatan daripada kami.

“Dia harus beraksi. Dia seorang pemain hebat dan penting buat kami.” kata Casemiro.

Penjaga gol Los Blancos, Thibaut Courtois, berkata: “Dia seorang pemain penting dan beraksi dalam perlawanan besar. Semua orang menyayanginya dan penting untuk Bale beraksi buat kami. Kami sangat gembira dengannya.”

Madrid meraih permulaan cemerlang dengan kemenangan meskipun mengharungi aksi pertama dengan 10 pemain selepas Luka Modric dilayangkan kad merah di laman lawan.-AGENSI