Seperti biasa, pelumba yang dikenali sebagai The Pocketrocketman itu bermula di bahagian belakang, namun keluar mendahului pesaing lain pada pusingan terakhir dan kelihatan seakan pasti menjulang pingat emas keduanya dalam tempoh 24 jam.

Namun, secara tiba-tiba pelumba Chinese Taipei Cycling Team (CTCA), Kang Shih Feng dilihat pantas memintas Azizulhasni yang mewakili Team Azizul pada penghujung perlumbaan. Agak jelas kelihatan Azizulhasni yang mengondol pingat emas pertamanya, kelmarin dalam acara pecut 200 meter individu, memperlahankan kayuhan barangkali menyangka sudah hampir pasti menang.

Pelumba Gyeongsangbukdo Sport Council, Park Jeone menduduki tempat ketiga sekali gus melengkap kutipan dua pingat menerusi acara keirin dan pecut 200 meter individu. Pada satu ketika seorang lagi pelumba negara yang mewakili Sime Darby Foundation (YSD), Muhammad Fadhil Mohd Zonis seakan melengkapkan kemenangan podium untuk Malaysia.

Kelmarin, Mohd Azizulhasni menceriakan kem Malaysia menghadiahkan pingat emas pertama menerusi acara acara pecut 200 meter individu dan ramai yang menyangka kilauan emas hampir pasti dalam genggaman menerusi acara keirin.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab, bagaimanapun, yakin ada pelajaran yang boleh difahami oleh Azizulhasni menerusi kekalahan kepada pelumba Taiwan.

“Azizulhasni ialah pelumba yang paling disegani berdasarkan pencapaian muncul juara dunia pada 2017. Saya percaya ada pengajaran yang boleh dikutipnya, hari ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE