Perpindahan itu jelas mengejutkan ramai pihak termasuk penyokong yang tertanya-tanya punca sebenar perpindahan itu berlaku.

Selepas beberapa bulan perpindahan itu berlaku, pemain berusia 34 tahun itu mendedahkan bahawa hubungan kurang baik dengan presiden kelab, Florentino Perez menjadi salah satu sebab dia mengambil keputusan untuk berhijrah.

“Saya dapat rasakan bahawa hubungan dengan presiden tidak seperti empat atau lima tahun dulu.

“Presiden pernah memberitahu bahawa saya tidak lagi diperlukan seperti sebelum ini. Jadi saya ambil keputusan berhijrah,” katanya.

Pemenang Ballon d’Or lima kali itu jelas sudah melupakan bekas kelabnya itu selepas terlibat dengan satu insiden yang menyaksikan dia berinteraksi bersama penyokong Portugal semasa aksi kelayakan Euro 2020 menentang Ukraine.

Menurut laporan Express UK, seorang penyokong memberikan bintang Juventus itu jersi Real Madrid untuk ditandatangani, Ronaldo secara berseloroh berkata: “Awak tiada jersi Juventus?”

Penyokong itu kemudiannya menjawab: “Saya ada jersi itu, saya ada jersi itu.”

Ronaldo kemudiannya menurunkan tanda tangan ke atas jersi Madrid sambil tersenyum kepada penyokong tersebut.-AGENSI