Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Promosi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Ahmad Muzakkir Hamid berkata, beliau terkejut apabila masih ramai yang masih yakin dengan jenama TRW.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan Kafa tidak berdepan masalah untuk mencari dana bagi menggerakan TRW musim 2020.

"Perubahan 'teraju' kepimpinan badan induk itu yang diketuai Wan Abdul Rahim Wan Abdullah turut memikat penaja untuk menjalinkan kerjasama.

"Alhamdulillah, masih ada penaja yang berminat untuk bersama-sama dengan Kelantan mereka menyatakan keyakinan kepimpinan Kafa mampu membawa angin perubahan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad Muzakir yang juga Exco Kafa memberitahu, persatuan itu sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat menjadi rakan penaja dalam skala besar atau kecil.

Katanya, Kafa menyediakan pakej menarik dengan konsep 'menang-menang', bergantung atas persetujuan bersama nanti.

"Kita juga bercadang mengadakan satu majlis makan malam amal yang dicadangkan pada September dan akan diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

"Seluruh rakyat dan penyokong diminta memberi 100 peratus sokongan kepada pengurusan baharu dan memberi peluang serta ruang kepada kami untuk mengembalikan Kelantan ditempat terbaik," ujarnya.

Kongres Luar Biasa (EGM) KAFA, 6 Julai lalu menyaksikan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Wan Abdul Rahim Presiden Kafa untuk penggal 2019-2023.-UTUSAN ONLINE