Ingatkah kita lagi dengan kelibat pemain-pemain seperti (Datuk) James Wong, Hassan Sani, Matlan Marjan atau pemain import yang kini bermastautin di Sabah, Scott Ollenrenshaw dari Australia. Kesemua pemain ini mempunyai keistimewaan tersendiri.

James dan Hassan merupakan dua bekas penyerang kebangsaan yang beraksi cemerlang ketika Malaysia me­numbangkan Korea Selatan 2-1 dalam kempen kelayakan ­Olimpik 1980.

Gerakan satu-dua antara James dan Hassan memboleh­kan Malaysia meraih gol kemenangan dan seterusnya layak bertanding di Moscow tetapi menarik diri berikutan pemulauan terhadap Soviet.

Matlan pula wira yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh pemain England yang sezaman dengannya seperti Gary Lineker apabila menjaringkan dua gol ketika Malaysia tewas 4-2 kepada pasukan yang dibimbing oleh Graham Taylor pada 1991 dulu.

Bagi Ollenrenshaw pula, namanya menjadi igauan setiap pasukan yang berdepan dengan Sabah sebagai penjaring prolifik yang menyumbatkan lebih 100 gol sepanjang bersama pasukan Negeri Dibawah Bayu itu dari tahun 1994 hingga 1997.

Ollenrenshaw bahkan sempat bercinta dan menikahi jaguh karate negara, Michell Koh.

Pasangan itu turut dikurniakan dua orang anak. Salah seorang anaknya, Jordan pernah berada dalam senarai pelatih pasukan bola sepak kebangsaan.

Bagi peminat bola sepak di Semenanjung, bukan nama pemain hebat Sabah sahaja yang sentiasa diingati, bahkan Penampang dan Likas tidak terkecuali kerana disitulah venue keramat bermulanya kelahiran pemain-pemain hebat pasukan ‘Sang Bayu’.

Semua itu sudah cukup untuk mewarnai bola sepak Sabah yang satu ketika begitu sukar diramal kemampuan mereka. Kejayaan mengungguli carta Liga Perdana itu merupakan kejayaan pertama pasukan itu. Sabah tidak memenangi sebarang gelaran sejak 23 tahun yang lalu dan kembali beraksi dalam liga utama selepas tempoh 14 tahun.

Kini, Sabah berada dalam saingan liga utama Liga Super yang ternyata begitu besar cabarannya. Mampukah mereka menyerlah, itulah yang menjadi harapan kepada para peminat pasukan Tambadau.

Kepada pasukan Sabah kita ucapkan Aramaiti!. Selamat datang ke Liga Super bah. Tahniah dan syabas kepada para pemain serta keseluruhan pengurusan pasukan dan jurulatihnya, Jelius Ating.