Stephanie Frappart, 35, dari Perancis memahat sejarah sebagai wanita pertama yang akan mengendalikan perlawanan besar lelaki dalam kalendar Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

"Jantina tidak relevan (ditimbulkan) jika kualiti yang dimiliki adalah sama.

"Dia tidak akan dipilih jika tidak layak mengendalikan perlawanan ini.

"Ia (jantina) sama sekali tidak penting. Kalau anda tengok rekodnya, dia telah mengendalikan banyak perlawanan dengan baik, mereka (UEFA) pasti membuat keputusan yang betul," kata Van Dijk dalam sidang akhbar semalam.

Frappart sebelum ini mengadili final Piala Dunia Wanita di antara Amerika Syarikat (AS) menentang Belanda pada 7 Julai lalu yang menyaksikan AS muncul juara buat kali keempat.

Pada April lalu, dia dipilih sebagai pengadil wanita pertama dalam sejarah mengendalikan aksi pemain lelaki di antara Amiens dan Strasbourg dalam saingan Ligue 1, Perancis.

Dalam aksi Piala Super - perlawanan yang menemukan juara Liga Juara-Juara, Liverpool dan juara Europa, Chelsea, Frappart akan dibantu oleh rakan senegaranya, Manuela Nicolosi dan Michelle O’Neal dari Ireland manakala pegawai keempat dari Turki, Cuneyt Cakir.

Perlawanan akan berlangsung di Stadium BJK Vodafone Park, Istanbul. - AGENSI